Baru-baru ini AlongMurni (AM)
berkesempatan untuk hadir ke ‘Team Programme Award Day 2024’ bertempat di
Sunway Resort Hotel, Selangor. Selangor Youth Community (SAY) di bawah naungan
DYTM Raja Muda Selangor bekerjasama dengan The King’s Trust International yang
merupakan sebuah organisasi global yang diasaskan oleh Raja Charles III.
Organisasi ini telah memulakan inisiatif untuk menyokong belia berisiko melalui
program pembangunan peribadi dan profesional selama 9 minggu yang melibatkan
pelbagai aktiviti.
AMIRUL MUKMININ TERIMA ANUGERAH
"GLOBAL THE KING’S TRUST 2024"
AM berasa kagum dan banggan
dengan salah seorang peserta iaitu Amirul Mukminin yang telah dipilih sebagai
pemenang serantau Anugerah Kelestarian The King’s Trust 2024 untuk Asia dalam
Anugerah Global The King’s Trust 2024, anugerah yang mengiktiraf golongan muda
yang cemerlang dalam program The King’s Trust di seluruh dunia.
AWARD DAY TEAM PROGRAMME MALAYSIA 2024
Untuk meraikan pencapaian Amirul,
satu majlis penerimaan telah diadakan bersama alumni program, rakan strategik,
dan semua pihak berkepentingan yang terlibat. Majlis yang berlangsung ini telah
dihadiri oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Kisah Amirul yang melalui pembangunan
peribadi signifikan melalui Program Team telah membuka mata ramai mengenai
kepentingan program sebegini.
Memulakan program dengan harapan
di hati, pencapaian pertama Amirul ialah membuang perasan malu dan rendah diri
yang menghalangnya. Apabila kemahiran komunikasinya berkembang, dia berubah
dari seorang peserta yang pemalu kepada individu yang lebih yakin. Semasa fasa
projek komuniti dalam program Team, semangat Amirul terhadap alam sekitar jelas
terserlah.
Kepimpinannya telah membimbing
kumpulan ke arah inisiatif komuniti alam sekitar yang memberi tumpuan kepada
penanaman pokok bakau sebagai strategi pencegahan banjir. Usaha ini bukan
sahaja mempamerkan ketekunannya tetapi juga menandakan permulaan perjalanan
transformasinya.
Semasa majlis berprestij itu,
Selangor Youth Community juga telah memberi penghargaan kepada rakan strategik
dengan anugerah pengiktirafan masing masing. Nestle Malaysia dianugerahkan
sebagai The Most Supportive Corporate Partner Award manakala kedua-dua Perkeso
dan Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC) menerima
pengiktirafan sebagai The Most Supportive Employment Partner Award. Seorang
Alumni Program Team yang lain, Encik Syafiq Affizuddin juga dianugerahkan
Perseverance Award sebagai pengiktirafan terhadap semangat jitu beliau dalam
mengharungi kesulitan hidup.
Acara ini juga menyaksikan
pemeteraian antara Nestle Malaysia dan Selangor Youth Community di mana
kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman yang disaksikan oleh
Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj,
Raja Muda Selangor. Diharapkan bahawa kerjasama ini akan terus memberi manfaat
kepada kedua-dua pihak.
Tahniah AM berikan buat semua penerima anugerah dan semoga program seumpama ini dapat memberi inspirasi dan membantu komuniti setempat serta memperkasakan golongan belia. AM sangat berharap Selangor Youth Community (SAY) meneruskan usaha dalam memberikan galakan dan bantuan kepada generasi muda untuk terus bangun bersama melestarikan ekonomi negara dan seterusnya mengharumkan nama negara di mata dunia.
0 Comments