UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA LANCARKAN
SINGLE PERTAMA TYA ARIFIN DI MALAYSIA
“BAGAIKAN MUTIARA”
Semalam AlongMurni (AM) dimaklumkan yang gadis kecil molek
Tya Arifin baru melancarkan single pertama di Malaysia dengan judul lagunya ‘Bagaikan
Mutiara’
Jom. kita sama-sama dengarkan keunikan dan kemerduan suara Tya Arifin.
Klik link ke tautan video muzik ini
https://youtu.be/WjmXdoESo4I yang akan dipaparkan melalui Youtube Channel Tya
Arifin Official https://www.youtube.com/channel/UCWEp8f25SgemZ6K-YZxy3pA untuk
menyaksikan muzik video Bagaikan Mutiara.
Meneliti satu persatu bait lagu Bagaikan Mutiara jelas
merangkumkan kembara perjalanan hidup, aturan kerjaya dan kecintaan wanita
kelahiran Palembang, Indonesia bernama Tya Arifin. Lagu nuansa pop ciptaan
Ahmad Jeffny dan penyanyi Yuka Kharisma ini menjadi bukti biarpun melakukan
banyak pengorbanan dalam hidup, minatnya terhadap dunia seni yang terlebih
dahulu diceburi tidak pernah terhakis.
Lebih istimewa lagu yang dirakamkan 20 Oktober lalu ini turut
mendapat sentuhan nukilan lirik suami tercinta, Asyraf Khalid bersama Ahmad
Jeffny. Lagu berkenaan juga menyaksikan Asyraf bertindak sebagai penerbit
eksekutif. Video muzik juga sudah dirakamkan 17 November lalu arahan El Helmi
Khir.
Lagu edaran Universal Music Malaysia ini pendek kata boleh diabadikan sebagai meraikan momen indah usia perkahwinan pemilik nama penuh Nurtria Wulandari Arifin ini yang genap lima tahun pada 1 November lalu. Melengkapkan kebahagiaan Tya bersama Asyraf dikurniakan sepasang cahaya mata comel, Arif Jiwa, 3, dan Azzahra Jiwa, 2.
“Dalam hidup ini, kita seringkali berdepan dengan pilihan dan pengorbanan. Saya sendiri tidak pernah menyesali takdir berkahwin dengan Asyraf dan berhijrah ke Malaysia saat nama sedang mekar di tanah kelahiran. Bukan keputusan mudah sebenarnya untuk saya meninggalkan keluarga dan kerjaya di Indonesia. Namun saya bulatkan hati dan percaya cinta yang teguh itu menjadi azimat berharga membawa bahagia berterusan.
“Lirik awal lagu ini sendiri bermula dengan kembara saya dari tanah seberang menuju ke Malaysia. Pendek kata lagu ini mengenai perjalanan saya bertemu dengan suami dan seterusnya membuka lembaran baru dalam hidup sekali gus menebarkan impian yang lebih besar,” katanya Tya yang pernah muncul dengan single Bawalah Aku di Indonesia sekitar tahun 2012.
Ditanya apakah percubaannya menghasilkan single berkenaan
iaitu untuk merakam memori perjalanan cintanya, Tya memintas bahawa lagu itu
menzahirkan darah seni yang mengalir tidak pernah bernoktah
“Soalnya saya bermula sebagai artis. Pastinya saya mengharapkan pertaruhan ini akan membuahkan hasil. Saya juga tidak mengambil mudah dalam soal untuk kembali menyanyi. Pastinya selepas sekian lama tidak menyanyi, banyak hal saya kena asah. Termasuk daripada sudut vokal. Saya sempat berguru menajamkan kembali vokal sebelum proses rakaman bermula,” katanya.
Menurut Tya yang turut meneroka dunia perniagaan produk
suplemen kesihatan, Mutyara, single komersial pertamanya di Malaysia itu bagai
sebuah bingkisan bermakna yang menghimpunkan pahit manis dalam paksi hidup.
Jelas Tya lagi, single berkenaan juga ironinya memperkasakan
golongan wanita dalam pelbagai sudut pandang.
“Wanita itu tak kira apa juga statusnya, dia juga kena kuat. Tidak boleh sesekali lemah. Kuat itu juga bukan daripada segi fizikal, namun juga minda dan pembawakan diri. Saya sendiri berubah status dari gadis bertukar sebagai isteri dan ibu. Menjadi ibu kepada dua cahaya mata tidak pernah membataskan saya mencari titik kesempurnaan dalam hidup. Saya jadi lebih optimis dan bersemangat apabila perniagaan yang diusahakan dapat membantu mengubah nasib orang lain,” katanya yang mula berhijab sekitar awal tahun ini.
1 Comments
congrats to her atas single yg pertama :)
ReplyDelete