Tourism Selangor merupakan Agensi Pelancongan Rasmi Negeri Selangor yang
ditubuhkan untuk meningkatkan bilangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke
Selangor dengan mempertingkat dan membangunkan keindahan negeri yang terkenal
serta belum ditemui. Banyak inisiatif diambil untuk mencapai matlamat ini
seperti menganjurkan kempen tempatan dan antarabangsa, acara, misi perdagangan
pelancongan luar negara, jerayawara tempatan dan banyak lagi.
Kali ini AlongMurni (AM) berkesempatan untuk menghadiri program FAM
(Familiarization) Trip atau Open Day yang dianjurkan oleh Tourism Selangor yang
bertempat di Resort Taman Eko Rimba di Rawang. RESORT TAMAN EKO RIMBA
KOMANWEL terletak di Hutan Simpan Bukit Lagong di jalan menghala ke Rawang,
kira-kira 24km ke utara pusat bandar Kuala Lumpur dan kira-kira 3km dari Bandar
Rawang. Tarikan ini merupakan hutan simpan yang besar dengan keluasan lebih 260
hektar dalam spesies dipterokarpa tanah rendah bersempadan dengan Hutan Lipur
Kanching dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Resort Taman Eko Rimba di Rawang menjadi pilihan Tourism Selangor sebagai
lokasi penganjuran program untuk memperkenalkan tarikan pelancongan dan
aktiviti yang berkonsepkan eko pelancongan seperti, Glamping, Jungle Trekking,
ATV, Aktiviti kayak dan banyak lagi.
Commonwealth Eco Forest Park & Resort atau dikenali sebagai Resort
Taman Eko Rimba Komanwel (RTERK) dilancarkan bagi memperingati Persidangan
Hutan Komanwel ke-14 pada tahun 1993, taman ini menggabungkan hutan tebal
dengan taman berlandskap yang disediakan dengan pemandangan panorama, susunan
formal, tapak perkhemahan, chalet, monumen air pancut, trek joging, denai
mendaki, ladang lebah kelulut dan kemudahan lain untuk memberi pengunjung pengalaman
yang indah untuk percutian.
RTERK kini diuruskan oleh Future World Avenues Sdn. Bhd. dengan kerjasama
erat Kerajaan Negeri, Tourism Selangor Sdn. Bhd. dan Jabatan Perhutanan Negeri
Selangor.
YB Tuan Hee Loy Sian, dalam satu kenyataan berkata,” Program ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor untuk mengiktiraf pencapaian dan sumbangan rakan-rakan penggiat media yang membantu khususnya mempromosikan industri pelancongan di Negeri Selangor. Komitmen yang dizahirkan oleh rakan-rakan media ini, amat penting bagi memastikan industri pelancongan dapat berkembang maju terutamanya dalam persediaan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik. Telah terbukti, sepanjang tahun 2021 dan 2022 rakan-rakan media kita telah memberikan liputan media yang tinggi bagi mempromosikan inisiatif-inisiatif bantuan kerajaan Negeri, Kempen-kempen promosi, penganjuran acara dan program pelancongan dan juga menyertai program seperti FAM Trip yang dianjurkan oleh Tourism Selangor.”
Encik Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor berkata,” Untuk tahun ini, pihak Tourism Selangor telah bekerjasama dengan pihak Resort Taman Eko Rimba Komenwel sebagai penaja lokasi dan program terbahagi kepada 2 bahagian iaitu, sesi FAM Trip atau Open Day yang kita jalankan pada sesi pagi, dan Majlis Apresiasi Media yang kita jalankan pada sesi petang/malam”.
Bagi AM program seumpama ini sangat efektif kerana selain
mempromosikan Resort Taman Eko Rimba Komanwel ini , AM juga dapat
menghirup udara segar, melakukan aktiviti yang menyihatkan badan, dan yang
paling dapat merapatkan silaturrahim sesama penggiat media.
Terima kasih diucapkan buat Tourism Selangor
atas penganjuran FAM Trip Tourism Selangor 2022 ini dan semoga lebih banyak
program diadakan dengan aktiviti yang lebih padat dan menarik. Tahniah Tourism
Selangor atas penganjuran kali ini.
0 Comments