SugarBun Menandatangani Perkongsian Bersama Sedaplycious

 

Baru-baru ini, AlongMurni (AM) berpeluang menghadiri satu majlis yang cukup bermakna buat industri makanan tempatan – majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara SugarBun Corporation Berhad, anak syarikat kepada Borneo Oil Berhad (BornOil), dan Sedaplycious Sdn Bhd. 

SUGARBUN MENANDATANGANI PERKONGSIAN

BERSAMA SEDAPLYCIOUS 

LANGKAH BESAR KE SEMENANJUNG & PASARAN ANTARABANGSA

SugarBun Menandatangani Perkongsian Bersama Sedaplycious

Sebagai jenama makanan segera ikonik dari Malaysia Timur, SugarBun kini bersedia melangkah lebih jauh dengan memperluaskan cawangan ke Semenanjung Malaysia dan juga pasaran luar negara! Wah, memang AM rasa teruja tengok bagaimana jenama tempatan kita terus berkembang maju!

PERIHAL SUGARBUN

Ditubuhkan di Sarawak pada tahun 1979, SugarBun ialah jenama makanan segera Halal tempatan yang dibanggakan rakyat Malaysia. Dikenali dengan Broasted Chicken berperisa lada Sarawak, Savoury Rice, Fish Burger dan jeruk buatan sendiri, SugarBun terus membawa keaslian rasa Borneo ke seluruh Malaysia dan luar negara.

LANGKAH BESAR JENAMA IKONIK BORNEO

Menurut Datuk Joseph Ambrose Lee, Pengarah Urusan BornOil, kerjasama ini akan membuka lembaran baharu buat SugarBun untuk mengukuhkan jenama di seluruh Malaysia dan seterusnya menembusi pasaran antarabangsa.

SugarBun Menandatangani Perkongsian Bersama Sedaplycious
Datuk Joseph Ambrose Lee: Pengarah Urusan BornOil

“SugarBun akan membawa menu istimewa seperti Broasted Chicken, Savoury Rice dan hidangan kegemaran rakyat Malaysia Timur ke komuniti baharu di Semenanjung. Kami juga ingin cipta peluang pekerjaan, bantu pembekal tempatan, dan tawarkan peluang francais kepada usahawan,” katanya.

Bagi Datuk Joseph, ini bukan sekadar kerjasama perniagaan, tetapi satu perjalanan memperkukuh warisan Borneo dalam industri makanan negara. Dengan populasi Semenanjung yang tiga kali ganda lebih besar, peluang pertumbuhan memang sangat luas!

KERJASAMA RASMI SUGARBUN & SEDAPLYCIOUS

SugarBun Menandatangani Perkongsian Bersama Sedaplycious
Dari kiri ke kanan: Pengarah Urusan Borneo Oil Berhad (BornOil) Datuk Joseph Ambrose Lee, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Ketua Pegawai Eksekutif Pernas Datuk Nor Azam bin M. Taib, dan Pengasas Sedaplycious Sean Leong

Perjanjian Regional Area Development Agreement ini dimeterai oleh anak syarikat SugarBun, SB Supplies & Logistics Sdn Bhd, yang melantik Sedaplycious sebagai rakan francais induk (master franchise partner).

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, serta CEO Pernas, Datuk Nor Azam bin M. Taib. Dalam ucapan beliau, Datuk Ewon menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan SugarBun:

SugarBun Menandatangani Perkongsian Bersama Sedaplycious
Datuk Ewon Benedick: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

“SugarBun ialah kisah kejayaan anak Malaysia Timur yang patut kita banggakan. Pengembangan ke Semenanjung bukan sahaja membuka peluang pekerjaan baharu, tetapi turut memperkenalkan kepelbagaian budaya dan cita rasa Malaysia Timur,” ujarnya.

 “Bukan Sekadar Perniagaan, Tapi Tentang Cita Rasa & Semangat”

Bagi Sean Leong, pengasas Sedaplycious, kerjasama ini bukan sekadar perniagaan, tetapi satu misi memperkenalkan citarasa Borneo ke seluruh negara.

SugarBun Menandatangani Perkongsian Bersama Sedaplycious
Sean Leong : Pengasas Sedaplycious

“Saya memang peminat tegar Broasted Chicken dan Savoury Rice SugarBun! Kami di Sedaplycious yakin rakyat Semenanjung akan jatuh cinta juga. Ini tentang mencipta peluang, memperkasa pembekal tempatan dan berkongsi rasa istimewa dari Borneo,” katanya penuh semangat.

LEBIH 40 TAHUN WARISAN CITA RASA BORNEO

Bermula dari Sarawak lebih 40 tahun lalu, SugarBun kini mempunyai lebih 104 cawangan di Sabah, Sarawak dan Brunei. AM juga tertarik dengan inovasi SugarBun Express, model francais kompak yang memudahkan usahawan baharu memulakan perniagaan dengan kos lebih rendah.

“SugarBun Express membolehkan kami bawa pengalaman makan berkualiti ke kawasan kecil dan luar bandar. Ia cara kami bantu komuniti setempat berkembang,” tambah Datuk Joseph.

PELANCARAN SOS CILI HALIA TUHAU OLEH SABACCO

SugarBun Menandatangani Perkongsian Bersama Sedaplycious
Sos Cili Halia Tuhau Sabacco 

Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran Sos Cili Halia Tuhau, ciptaan terbaru jenama Sabacco. Sos ini diinspirasikan daripada warisan Kadazan-Dusun di Sabah, dan terkenal dengan rasa pedas masam yang unik — memang mewakili kekayaan rasa dan biodiversiti Borneo

KATA ALONGMURNI

AM memang bangga tengok jenama tempatan seperti SugarBun semakin maju dan dikenali di seluruh negara! Kerjasama ini bukan sahaja membuka peluang ekonomi, tapi juga membawa warisan rasa Borneo yang unik kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

SugarBun Menandatangani Perkongsian Bersama Sedaplycious
AlongMurni (AM) bersama Maskot SugarBun



Post a Comment

0 Comments