Hari Terbuka TVET YRMS-ILKBS 2025



Baru-baru ini AlongMurni (AM) berpeluang menghadiri Hari Terbuka TVET YRMS-ILKBS 2025 yang berlangsung meriah di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua. Dengan tema tahun ini “Perkasa Belia, Bina Masa Depan Berkemahiran” ianya cukup menggambarkan misi besar program anjuran Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dan Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).

HARI TERBUKA TVET YRMS–ILKBS 2025

PERKASA BELIA, BINA MASA DEPAN BERKEMAHIRAN

Hari Terbuka TVET YRMS-ILKBS 2025

Sebagai seseorang yang selalu menyokong pembangunan belia dan pendidikan berteraskan kemahiran, AM memang teruja melihat sendiri bagaimana program ini membuka mata ramai anak muda tentang potensi sebenar dunia TVET (Technical and Vocational Education and Training).

SUASANA MERIAH, ENERGI BELIA LUAR BIASA

Seawal jam 9 pagi lagi, kawasan IKTBN Dusun Tua sudah dipenuhi pelajar sekolah, pelatih kemahiran, rakan industri dan komuniti setempat. Lebih 2,000 pengunjung hadir bagi menyertai pelbagai aktiviti menarik daripada bengkel, pertandingan inovasi, hingga sesi kaunseling kerjaya.

AM sendiri rasa terinspirasi melihat semangat anak muda yang datang bukan sekadar untuk “cuci mata” tetapi benar-benar ingin tahu tentang peluang TVET.

Bila lihat sendiri tenaga muda kita berani mencuba dan bertanya, AM yakin TVET bukan lagi pilihan kedua tapi ini masa depan sebenar belia Malaysia.

MISI YRMS: BANTU BELIA BANGKIT MELALUI KEMAHIRAN

Untuk yang mungkin belum tahu, Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) ditubuhkan pada tahun 2003 atas ilham D.Y.M.M. Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan dinaungi oleh D.Y.T.M. Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor.

YRMS menumpukan usaha membantu belia, terutamanya daripada keluarga B40, untuk membina kehidupan yang lebih baik melalui latihan kemahiran dan pembangunan diri. Sejak ditubuhkan, lebih 7,600 belia telah mendapat manfaat daripada program di bawah YRMS iaitu satu angka yang cukup membanggakan!

Hari Terbuka TVET YRMS-ILKBS 2025

Dalam ucapannya, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YRMS, Y.A.D. Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj bin Raja Tun Uda Alhaj, menegaskan komitmen yayasan untuk terus memperkasa belia tanpa mengira latar belakang.

“Fokus kami bukan sekadar kemahiran teknikal, tetapi juga sahsiah dan potensi diri supaya belia bukan saja mahir, tapi juga berkarakter.”

AKTIVITI PADAT & MENARIK SEPANJANG HARI

Hari Terbuka TVET YRMS-ILKBS 2025

Acara ini bukan sekadar pameran atau ceramah malah ianya padat dengan pengisian interaktif dan bermanfaat untuk belia. Antara yang paling menarik perhatian AM ialah:

💥Pertandingan TVET: “TVET untuk Masa Depan Mampan” 

Peserta dari sekolah dan kolej TVET seluruh negara mempamerkan idea inovasi hijau dan lestari.

  • SMK Jugra muncul juara kategori sekolah dengan projek kitar semula sisa makanan dan plastik kepada produk mesra alam.
  • IKBN Kemasik pula menang kategori kolej dengan inovasi “Seedra Soap”, sabun semula jadi daripada minyak masak terpakai.

💥Bengkel Eksplorasi Diri (Self-Discovery Workshop – SDW)

Lebih 200 pelajar Tingkatan 5 dari keluarga B40 menyertai bengkel yang membuka ruang mereka mengenali potensi diri dan kerjaya TVET. Antara kursus pendek yang ditawarkan: Servis Aircond, 3D Printing, Asas Elektrik, dan Penyelenggaraan Jentera Berat.

💥Sesi Kaunseling & Kelas Kewangan

PERKESO hadir memberi bimbingan tentang prospek kerjaya dan perlindungan sosial, manakala Tymba Education mengendalikan kelas kewangan bagi membantu pelajar belajar urus wang sendiri.

ANUGERAH YRMS 2025

AM turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada pelajar cemerlang YRMS dalam pelbagai kategori. Antara yang diraikan:

💖Mohamad Iman Hakimi (Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin) - Akademik Terbaik

💖Farhana Kamaruddin (IKBN Peretak) - Pencapaian Latihan

💖Nurul Maisarah Mazlan (Politeknik Melaka) - Komuniti Terbaik

💖Nor Muhammad Muzhaffar Shah (Politeknik Banting) - Ikon Pelajar YRMS

PENYERAHAN SIJIL KOLABORASI (COC)

YRMS turut menandatangani kerjasama dengan Radiant Group, Tymba Education Group dan Sime Industrial Academy, bagi membuka lebih banyak peluang latihan dan pekerjaan untuk pelatih TVET.

INISIATIF AMAL & KOMUNITI

Hari Terbuka TVET YRMS-ILKBS 2025

Tak lengkap kalau tiada sentuhan kasih! Dalam semangat tanggungjawab sosial, YRMS menyumbangkan lima komputer riba kepada pelajar IKTBN Dusun Tua, serta bantuan kepada Rumah Solehah dan Tabika Kemas Anggerik.

Selain itu, terdapat juga aktiviti istimewa seperti:
💥Tajaan cermin mata percuma oleh 99 Vision
💥Jualan Ehsan oleh KPDN & PKPS
💥Rawatan fisioterapi percuma oleh Centurise Group dan BenPhysio

Semuanya menjadikan program ini bukan sekadar platform ilmu, tetapi juga hari kebajikan untuk masyarakat setempat.

TVET: LALUAN KERJAYA MASA DEPAN

AM tertarik dengan perkongsian Ketua Pegawai Eksekutif YRMS, Muhammad Syazwan Daut, yang menjelaskan bahawa TVET kini bukan lagi laluan “alternatif”, tetapi antara jalan paling strategik ke dunia pekerjaan.

“Latihan TVET mengambil masa dua hingga tiga tahun dan terus membuka peluang kerja. Ia cepat, berfokus, dan praktikal.”

YRMS kini menaja lebih 70 bidang kemahiran moden, termasuk Augmented Reality, Virtual Reality, 3D Production, Digital Content Creation dan banyak lagi. Ini membuktikan bahawa TVET kini selari dengan keperluan industri digital masa kini.

REFLEKSI AM: BANGGA LIHAT BELIA MALAYSIA BERANI MELANGKAH

Bila melihat sendiri semangat anak muda yang hadir, AM rasa bangga dan terharu. Dalam dunia yang semakin mencabar, mereka masih berani mencuba dan yakin dengan potensi diri.

AM kagum dengan usaha YRMS dan ILKBS yang bukan sekadar melatih kemahiran, tapi membina keyakinan dan jati diri belia. TVET bukan tentang kerja teknikal semata, tapi tentang peluang-peluang untuk bina kehidupan yang stabil dan bermakna.

Hari Terbuka TVET YRMS-ILKBS 2025

Program seperti ini wajar diteruskan setiap tahun. Ia bukan sekadar pameran, tapi satu gerakan membina masa depan negara melalui bakat dan kemahiran anak muda Malaysia.

Sebagai penulis dan pemerhati sosial, AM percaya setiap belia mempunyai potensi besar cuma perlu diberi peluang, bimbingan dan platform yang betul. Dan Hari Terbuka TVET YRMS–ILKBS 2025 ini membuktikan, dengan semangat dan usaha yang ikhlas, masa depan berkemahiran itu milik kita semua.

 


Post a Comment

0 Comments