Nurul Natrah Dinobatkan Juara Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) Edisi Ketujuh

 

Inspirasi, keberanian dan semangat untuk terus melangkah. Itulah antara perkara yang AlongMurni (AM) rasakan selepas berkesempatan hadir ke Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) Edisi Ketujuh yang berlangsung pada 26 Ogos 2026 bertempat di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya. 

AM hadir Liga Usahawan OKU Selangor (SAY Lead) Edisi ke 7
AM hadir Liga Usahawan OKU Selangor (SAY Lead) Edisi ke 7

NURUL NATRAH DINOBATKAN JUARA LIGA USAHAWAN OKU SELANGOR (SAY LEAD) EDISI KETUJUH

Program yang menghimpunkan usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) ini bukan sekadar sebuah pertandingan keusahawanan, tetapi turut menjadi platform untuk mengetengahkan bakat, potensi dan kemampuan golongan OKU dalam dunia perniagaan.

Dan pastinya, kemuncak acara yang dinanti-nantikan adalah pengumuman para pemenang SAY LEAD Edisi Ketujuh.

NURUL NATRAH DINOBATKAN SEBAGAI JUARA

Tahniah buat Nurul Natrah binti Aziz @ Awang, pengasas Gembur Education, yang berjaya dinobatkan sebagai Juara Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) Edisi Ketujuh.

Nurul Natrah yang merupakan usahawan OKU Autisme & ADHD berjaya menduduki tempat pertama selepas menampilkan prestasi cemerlang dalam pusingan akhir program.

Kejayaan beliau menjadi satu inspirasi bahawa kekurangan bukanlah penghalang untuk seseorang membina impian, mengembangkan perniagaan dan mencapai kejayaan.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Mohd Kamal Surin bin Abdullah, pengasas Nyaman Juice, manakala tempat ketiga menjadi milik Farah Hana binti Faizul dan Fatnin Qistina binti Firdus, pengasas Loomsydoo Studio.

Senarai Pemenang Utama SAY LEAD Edisi Ketujuh

Nurul Natrah Dinobatkan Juara Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) Edisi Ketujuh

🏆 Tempat Pertama

Nurul Natrah binti Aziz @ Awang

OKU Autisme & ADHD

Pengasas Gembur Education

🥈 Tempat Kedua

Mohd Kamal Surin bin Abdullah

OKU Fizikal

Pengasas Nyaman Juice

🥉 Tempat Ketiga

Farah Hana binti Faizul & Fatnin Qistina binti Firdus

Pengasas Loomsydoo Studio

Buat semua pemenang dan peserta, tahniah AM ucapkan!

10 USAHAWAN OKU TERBAIK KE PUSINGAN AKHIR

Pusingan akhir SAY LEAD Edisi Ketujuh mempertemukan 10 usahawan OKU terbaik yang telah dipilih daripada 20 penyertaan pada peringkat awal program.

Apa yang menarik, para peserta bukan sekadar hadir untuk bertanding.

Sejak Mei 2026, mereka telah melalui beberapa siri kursus dan bimbingan perniagaan yang dirangka bagi membantu mereka membina asas perniagaan yang lebih kukuh.

Antara modul yang diberikan termasuk:

💥Pengurusan Kewangan

💥Pembinaan Platform Digital

💥Pengurusan Bisnes

💥Buat Duit di Karnival

💥Lawatan Industri di Mydin HQ

💥Sesi Perkongsian Alumni

Bagi AM, pendekatan seperti ini sangat penting kerana kejayaan dalam perniagaan bukan hanya bergantung kepada produk yang bagus, tetapi juga pengetahuan, strategi, pengurusan kewangan, pemasaran dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu.

LEBIH DARIPADA SEBUAH PERTANDINGAN

SAY LEAD merupakan sebuah inisiatif keusahawanan anjuran Selangor Youth Community (SAY) yang memberi fokus kepada usaha memperkasakan usahawan OKU di Selangor.

Melalui latihan dan bimbingan yang berstruktur, peserta diberikan peluang untuk mengembangkan perniagaan serta meningkatkan daya saing mereka dalam sektor ekonomi.

Apa yang AM lihat, program seperti SAY LEAD membuka ruang yang lebih luas kepada usahawan OKU untuk menunjukkan bahawa mereka juga mempunyai idea, kemahiran dan kemampuan untuk membina perniagaan yang berjaya.

Ia juga menjadi satu platform untuk membina keyakinan diri, memperluaskan rangkaian perniagaan dan bertemu dengan individu yang mempunyai perjalanan keusahawanan yang sama.

PERJALANAN MEREKA TIDAK BERHENTI DI SINI

Menariknya, perjalanan para pemenang SAY LEAD Edisi Ketujuh tidak berakhir selepas pengumuman pemenang.

Kesemua lima pemenang utama layak untuk meneruskan perjalanan ke peringkat seterusnya melalui SAY LEAD+.

SAY LEAD+ merupakan program bimbingan selama enam bulan yang memberi fokus kepada beberapa aspek penting dalam pengembangan perniagaan seperti:

Akses kepada pasaran baharu

Digitalisasi perniagaan

Peluang mendapatkan reruai secara percuma

Pengembangan pasaran domestik

Inilah antara perkara yang menjadikan program ini begitu bermakna. Ia bukan sekadar mencari siapa yang terbaik, tetapi menyediakan laluan untuk peserta terus berkembang selepas pertandingan.

MEMBERI RUANG, MEMBINA PELUANG

Bagi AM, kehadiran ke SAY LEAD Edisi Ketujuh memberikan satu perspektif yang cukup bermakna.

Kadang-kadang kita melihat seseorang hanya melalui apa yang kelihatan di hadapan mata. Tetapi di sebalik setiap individu, ada cerita, perjuangan, impian dan potensi yang mungkin jauh lebih besar daripada apa yang kita sangkakan.

SAY LEAD memberi ruang kepada usahawan OKU untuk membuktikan kemampuan mereka melalui dunia keusahawanan.

Daripada mengikuti kursus, menerima bimbingan, membina platform digital, belajar mengurus kewangan sehinggalah berhadapan dengan pusingan akhir, semuanya adalah sebahagian daripada perjalanan mereka.

Dan buat Nurul Natrah, Mohd Kamal Surin, Farah Hana, Fatnin Qistina serta semua peserta SAY LEAD Edisi Ketujuh ucapan tahniah atas keberanian dan usaha yang telah ditunjukkan.

Semoga kejayaan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak peluang, lebih banyak kolaborasi dan lebih besar lagi kejayaan pada masa akan datang.

Kerana setiap orang berhak mendapat peluang untuk menyerlahkan potensi diri.

Tahniah SAY LEAD Edisi Ketujuh! 💙

Post a Comment

0 Comments