Setiap kali tibanya Ramadan dan
Syawal, pastinya persiapan mencari busana raya menjadi antara perkara yang
paling dinantikan. Buat peminat fesyen tempatan dan serantau, tahun 2027 bakal
menyaksikan satu lagi acara fesyen raya berskala besar menerusi WarnaRaya X
KLCC Raya Runway 2027 atau lebih dikenali sebagai WarnaRaya.
WARNARAYA X KLCC RAYA RUNWAY MEMBUKA TIRAI RAMADAN 2027
PLATFORM FESYEN RAYA SERANTAU KEMBALI LEBIH BESAR DAN EKSKLUSIF
Baru-baru ini, AlongMurni (AM)
berkesempatan untuk turut sama hadir ke Majlis Pra-Pelancaran Eksklusif
WarnaRaya X KLCC Raya Runway 2027 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala
Lumpur (KLCC).

Majlis ini menjadi pembuka tirai
kepada penganjuran edisi kedua WarnaRaya yang dijadualkan berlangsung selama
tiga hari, iaitu pada 22 hingga 24 Januari 2027, kira-kira dua minggu sebelum
ketibaan bulan Ramadan.
Sesuai sebagai destinasi
persiapan awal Aidilfitri, WarnaRaya bakal menghimpunkan penggiat industri
kreatif, pereka fesyen, jenama tempatan serta usahawan selebriti dari rantau
Asia Tenggara termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei di bawah satu
platform yang lebih bersepadu.
BUKAN SEKADAR BAZAR RAYA
Menurut Pengasas WarnaRaya, Shariza binti Mahzlan, penganjuran edisi 2027 akan membawa satu transformasi yang lebih signifikan. WarnaRaya bukan sekadar sebuah bazar jualan biasa, sebaliknya tampil sebagai sebuah platform fesyen yang menggabungkan elemen jualan, pertunjukan fesyen, kreativiti dan peluang perniagaan di bawah satu bumbung.

Keunikan utama WarnaRaya 2027 adalah konsepnya yang menggabungkan runway eksklusif bersama bazar berskala besar. Penganjur menyasarkan penyertaan lebih daripada 90 gerai jualan atau vendor serta kehadiran melebihi 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari acara berlangsung.
Para peserta pula bakal terdiri
daripada gabungan pereka fesyen terkenal tanah air, usahawan perusahaan kecil
dan sederhana (SME), serta jenama milik selebriti dari rantau Asia Tenggara.
MAIN HALL JADI PENTAS FESYEN, DEWAN PAMERAN MERIAH DENGAN BAZAR
Sepanjang WarnaRaya berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pengunjung boleh menikmati dua pengalaman berbeza dalam satu acara. Di Main Hall, bakal berlangsung pertunjukan fesyen berprestij yang menampilkan koleksi dan rekaan terkini daripada pereka-pereka terkenal.
Manakala di ruang pameran pula, pengunjung boleh meneroka bazar raya besar-besaran yang menghimpunkan pelbagai jenama, usahawan dan peniaga kreatif. Apa yang menarik, bukan hanya pereka terkenal mendapat peluang memperagakan hasil rekaan mereka.
Usahawan kreatif dan vendor yang menyertai bazar WarnaRaya juga akan diberikan peluang untuk memperkenalkan koleksi terbaharu mereka menerusi mini runway fashion show. Ini secara tidak langsung membuka peluang lebih luas kepada vendor untuk meningkatkan keterlihatan jenama dan memperkenalkan koleksi mereka kepada pengunjung serta pemain industri.
Lebih menarik lagi, pengunjung yang hadir ke tapak bazar WarnaRaya juga berpeluang memenangi tiket eksklusif untuk menyaksikan pertunjukan fesyen di pentas runway utama. Bagi AM, konsep ini memang menarik kerana pengunjung bukan sahaja datang untuk membeli-belah, tetapi turut dapat menikmati pengalaman fesyen yang lebih eksklusif dan interaktif.
EMPAT PEREKA FESYEN TERSOHOR SEBAGAI DUTA WARNARAYA

Majlis pra-pelancaran ini turut diserikan dengan perkongsian daripada empat pereka fesyen tersohor tanah air yang dilantik sebagai Duta WarnaRaya. Mereka bukan sahaja akan menyokong penganjuran acara ini, malah bakal tampil mempersembahkan koleksi masing-masing di pentas runway utama.
FIZIWOO: KOLEKSI RAYA READY-TO-WEAR UNTUK LELAKI DAN WANITA
Bagi FIZIWOO, WarnaRaya dilihat sebagai satu inisiatif hab sehenti bertaraf antarabangsa yang strategik untuk memulakan kempen raya lebih awal. Selain menjadi platform fesyen, acara ini juga memberi peluang kepada masyarakat untuk mencipta memori bersama keluarga sambil menikmati pengalaman membeli-belah dan pertunjukan fesyen.

Sempena WarnaRaya 2027, FIZIWOO dijangka mempertaruhkan kira-kira empat koleksi khas Ready-to-Wear (RTW) yang merangkumi busana lelaki dan wanita. Penghasilan koleksi RTW Raya memerlukan perancangan modal yang besar serta strategi pemasaran yang kukuh bagi memastikan koleksi tersebut dapat sampai kepada komuniti peminat.
Dengan adanya pentas runway
profesional serta ruang booth jualan di bawah satu bumbung, WarnaRaya dilihat
sebagai platform terbaik untuk memperkenalkan rekaan eksklusif kepada pasaran
tempatan dan serantau secara lebih menyeluruh.
RIZMAN RUZAINI: FESYEN PREMIUM LEBIH DEKAT DENGAN PEMINAT
Rizman Ruzaini pula menekankan kepentingan merapatkan jurang antara pereka dan peminat menerusi pemanfaatan platform digital. Mereka bakal membawakan koleksi Ready-to-Wear premium dengan anggaran harga sekitar RM400 hingga RM500, sambil mengekalkan DNA eksklusif dan kualiti tersendiri yang sinonim dengan jenama tersebut.

Menurut mereka, sambutan di platform digital membuktikan bahawa masyarakat kini semakin menghargai sentuhan dan kualiti hasil rekaan pereka tempatan. Setiap pereka mempunyai identiti atau DNA tersendiri serta kelompok peminat masing-masing.
Justeru, WarnaRaya menjadi medan
yang sesuai untuk menawarkan kepelbagaian pilihan busana raya premium yang
lebih mudah diakses oleh pelbagai lapisan pelanggan.
DATUK RADZUAN RADZIWILL: CONTEMPORARY MALAY DENGAN NILAI VERSATILITI
Pereka fesyen Datuk Radzuan Radziwill pula bakal mempertaruhkan konsep “Contemporary Malay” yang menjadi antara identiti rekaan beliau. Signatur utama koleksi beliau adalah penggunaan corak cetakan eksklusif atau trademark prints.

Sempena WarnaRaya, koleksi yang bakal diperkenalkan direka dengan nilai versatiliti yang tinggi. Ini bermakna setiap helaian bukan hanya sesuai digayakan ketika Aidilfitri, tetapi juga praktikal untuk dipakai sepanjang tahun termasuk ke majlis keraian, acara rasmi dan perkahwinan. Konsep busana Melayu kontemporari ini membawa keseimbangan antara elemen tradisional dan gaya moden yang tidak lapuk dek zaman.
Bagi AM, inilah antara perkara
penting dalam pemilihan pakaian masa kini kerana ianya bukan sekadar cantik
untuk dipakai sekali, tetapi mempunyai nilai dan fleksibiliti untuk digayakan
semula dalam pelbagai suasana.
ABU SHAEF HAMZA ANGKAT WARISAN TEKSTIL NUSANTARA
Seorang lagi Duta WarnaRaya, Abu Shaef Hamza, bakal mengangkat kekayaan warisan tekstil Nusantara seperti songket dan batik. Elemen tradisional tersebut akan dipadukan bersama palet warna moden bagi membuktikan bahawa identiti budaya serumpun masih kekal segar dan relevan untuk generasi masa kini.

Menurut beliau, khazanah tekstil tradisional tempatan mempunyai keunikan serta prestij yang tinggi di mata dunia. Melalui platform WarnaRaya, olahan yang lebih berani terhadap fabrik warisan Nusantara diharap dapat memberikan nafas baharu kepada fesyen raya moden.
Dalam masa yang sama, ia juga
menjadi satu usaha untuk menarik minat generasi muda agar terus menghargai
seni, budaya dan warisan serumpun.
PLATFORM UNTUK INDUSTRI FESYEN ASIA TENGGARA
Bagi AM, WarnaRaya X KLCC Raya
Runway 2027 bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung untuk membuat
persiapan raya lebih awal.
Lebih daripada itu, acara ini
menjadi satu platform penting untuk menghimpunkan pelbagai pihak dalam industri
fesyen. Bukan sahaja daripada pereka terkenal, jenama tempatan, usahawan SME,
pencipta kandungan sehinggalah kepada komuniti peminat fesyen.
Gabungan elemen budaya,
kreativiti, perniagaan dan komuniti menjadikan WarnaRaya sebuah platform yang
berpotensi memperkenalkan karya tempatan ke peringkat yang lebih luas,
khususnya dalam pasaran Asia Tenggara.
Pihak pengurusan WarnaRaya turut
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada wakil media cetak, media
elektronik, pencipta kandungan serta rakan-rakan industri yang hadir dan
memberikan sokongan sepanjang majlis pra-pelancaran ini.
CATAT TARIKH KORANG!
Jadi buat korang yang sedang
mencari busana raya, ingin melihat koleksi terbaharu daripada pereka terkenal
atau sekadar mahu menikmati suasana persiapan Aidilfitri lebih awal, jangan
lupa untuk menandakan tarikh ini.
WARNARAYA X KLCC RAYA RUNWAY 2027
📍
Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)
📅
22 hingga 24 Januari 2027
🎯
Lebih 90 vendor dan sasaran lebih 50,000 pengunjung
AM sendiri cukup teruja melihat bagaimana WarnaRaya bakal menggabungkan dunia fesyen, perniagaan, kreativiti dan budaya dalam satu acara yang lebih besar dan eksklusif. Jadi, jumpa krang di WarnaRaya X KLCC Raya Runway 2027 dan mulakan persiapan Aidilfitri lebih awal!

0 Comments