Baru-baru AlongMurni (AM) turut berpeluang menghadirkan diri ke Majlis Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) Edisi Keenam yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya. Majlis ini menjadi platform penting dalam meraikan semangat, ketabahan dan pencapaian usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) di Selangor.
SAY LEAD EDISI KEENAM
DYTM RAJA MUDA SELANGOR NOBATKAN TIGA IKON USAHAWAN OKU

Majlis berprestij tersebut telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor selaku penaung dan pengasas Selangor Youth Community (SAY). Baginda bersama para juri lain telah menobatkan tiga usahawan OKU sebagai Ikon Usahawan OKU Negeri Selangor bagi edisi kali ini.
SAY LEAD: USAHA PERKASAKAN USAHAWAN OKU
Program SAY LEAD merupakan inisiatif keusahawanan anjuran Selangor Youth Community (SAY) dengan sokongan pelbagai agensi termasuk Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Yayasan MBI Selangor, Google serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor. Ia bertujuan membantu usahawan OKU menjana pendapatan stabil melalui kursus, bimbingan perniagaan, serta akses pasaran yang lebih luas.

Sejak bermula pada Mei 2025, sebanyak 30 usahawan OKU telah mengikuti siri kursus melibatkan modul penjenamaan digital, pengurusan kewangan, bengkel profil bisnes, serta sesi perkongsian dengan agensi berkaitan. Daripada jumlah tersebut, hanya 10 peserta terbaik dipilih ke peringkat akhir untuk membentangkan idea dan rancangan perniagaan mereka di hadapan lima panel juri berpengalaman, diketuai sendiri oleh DYTM Raja Muda Selangor.
SENARAI PEMENANG SAY LEAD EDISI KEENAM
Tiga usahawan OKU yang berjaya mengharumkan nama mereka di pentas akhir ialah:

💥Juara – Nur Sabrina binti Md Salleh (30 tahun)

💥Naib Juara – Norhaiza binti Selamat (45 tahun).

💥Tempat Ketiga – Nor Azura binti Othman (44 tahun).
Mereka masing-masing menerima piala, sijil pengiktirafan, geran perniagaan tajaan PUNB serta peluang untuk menyertai SAY LEAD+, sebuah program bimbingan lanjutan untuk mengembangkan perniagaan melalui digitalisasi, akses pasaran baharu dan peluang eksport.
SOKONGAN PADU DARI PELBAGAI PIHAK
Selain DYTM Raja Muda Selangor, program ini turut disokong oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, YB Tuan Mohd Najwan bin Halimi. PUNB pula menyumbang dana sebanyak RM20,000 serta bimbingan kewangan berterusan untuk memastikan usahawan OKU mendapat panduan terbaik.

Turut menarik perhatian, para pemenang juga menerima POS Sistem tajaan Yayasan MBI Selangor dan laman web perniagaan percuma oleh App Engage, sekali gus memudahkan proses pendigitalan operasi perniagaan mereka.
ALONGMURNI (AM) SOKONG USAHA PEMBERDAYAAN OKU
Sebagai seorang penulis dan penggiat media sosial yang sering mempromosikan program berimpak tinggi seperti SAY LEAD, AlongMurni (AM) menyatakan rasa kagum terhadap usaha berterusan SAY dan DYTM Raja Muda Selangor dalam memperkasakan golongan OKU.
.jpeg)
Sebenarnya majlis seperti ini bukan sahaja membuka ruang untuk usahawan OKU menyerlahkan bakat dan idea, tetapi juga memberi semangat kepada masyarakat untuk menghargai keupayaan mereka yang luar biasa. AM percaya dengan adanya bimbingan berstruktur, mereka mampu bersaing setaraf usahawan lain dalam dunia perniagaan.
KESIMPULAN
Program SAY
LEAD Edisi Keenam telah membuktikan bahawa golongan OKU bukan penghalang untuk
berjaya dalam bidang keusahawanan. Dengan sokongan kerajaan negeri, organisasi
NGO, syarikat korporat dan individu masyarakat, ekosistem keusahawanan OKU
diyakini akan terus berkembang maju serta memberi inspirasi kepada generasi
akan datang.
0 Comments