Baru-baru ini, AlongMurni (AM)
berkesempatan untuk turut sama hadir ke Majlis Golf Amal Selangor 2026 yang
berlangsung di Tasik Puteri Golf & Country Club, Rawang. Penganjuran
program berprestij ini bukan sahaja menghimpunkan pemain golf daripada pelbagai
latar belakang, malah menjadi platform bermakna dalam usaha menyokong
pembangunan belia di negeri Selangor.
GOLF AMAL SELANGOR 2026
KOMITMEN BERSAMA MEMBINA MASA DEPAN BELIA

Program Golf Amal Selangor 2026
dianjurkan bersama oleh Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dan Persatuan
Kesejahteraan Amal Kuala Lumpur (AMAL) dengan matlamat utama mengumpul dana
bagi menyokong pelaksanaan inisiatif pembangunan belia di bawah YRMS. Kesemua
hasil kutipan dana akan disalurkan sepenuhnya kepada YRMS untuk penyediaan
bantuan, latihan serta peluang pembangunan kepada golongan belia yang
bermastautin di sekitar Selangor.
Penganjuran acara ini turut
mendapat sokongan padu daripada pelbagai rakan penaja korporat yang komited
terhadap tanggungjawab sosial serta pembangunan belia negara. Antara penaja
yang terlibat ialah Mazda, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Bermaz Auto Berhad,
Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., Gutty, Adidas, ProTec, Deemples, F&N, Naisc
Global, GOP, KK Group dan Bubbles O2 Sdn Bhd. Sokongan strategik ini jelas
mencerminkan keyakinan sektor korporat terhadap peranan signifikan YRMS dalam
melahirkan generasi belia yang berkemahiran dan berdaya saing.

Majlis ini turut diserikan dengan
penampilan khas barisan atlet bola sepak negara yang pernah mengharumkan nama
Malaysia di persada sukan tanah air. Antara yang hadir termasuk Safee Sali,
Farizal Marlias, Zaquan Adha, Razman Roslan dan Wan Zack Haikal. Kehadiran
ikon-ikon sukan ini bukan sahaja menambah nilai kepada penganjuran program,
malah menjadi sumber inspirasi kepada golongan belia untuk terus berusaha
mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.
Untuk makluman, Yayasan Raja Muda
Selangor (YRMS) merupakan sebuah yayasan berteraskan kebajikan serta
pembangunan belia yang ditubuhkan dan dilancarkan pada tahun 2003 oleh Duli
Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Legasi naungan Diraja ini diteruskan pada
tahun 2017 oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Amir Shah Ibni Sultan
Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor.

Penubuhan YRMS bertujuan menyediakan ruang dan peluang kepada golongan belia, khususnya mereka yang kurang cenderung dalam bidang akademik, untuk memperoleh kemahiran melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Inisiatif ini selaras dengan aspirasi membentuk modal insan berkemahiran tinggi yang mampu berdikari serta berdaya saing dalam pasaran pekerjaan.
Fokus utama YRMS adalah membantu
belia daripada latar belakang golongan berpendapatan rendah dan terpinggir
dengan membekalkan kemahiran yang relevan serta memenuhi keperluan industri
semasa. Usaha ini direalisasikan melalui kerjasama strategik bersama pelbagai
pihak termasuk agensi kerajaan, institusi TVET dan pemain industri, bagi
memastikan latihan yang ditawarkan mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi.

Secara keseluruhannya, Golf Amal
Selangor 2026 bukan sekadar acara sukan, tetapi satu inisiatif bermakna yang
memperlihatkan sinergi kukuh antara yayasan, sektor korporat dan masyarakat
dalam menyokong pembangunan belia. Semoga usaha murni ini terus mendapat
sokongan berterusan demi melahirkan generasi belia yang berilmu, berkemahiran
dan berdaya saing pada masa hadapan.


0 Comments